Monday, 18 June 2012

SAGU II

PROSES TEPUNG LEMANTAK
Proses pertama untuk menjadikan tepung lemantak adalah bahagian-bahagian kecil pokok mulong dibuang kulit yang keras dan dibelah kepada bahagian yang lebih kecil.  Bahagian kecil tersebut dimasukkan ke dalam mesin parut untuk mengasingkan hampas dan isi sagu tersebut. Mengikut Osman dan isterinya  Catherine, proses pemparutan mengambil masa setengah hari jika jumlah pokok mulong yang dibelah-belah adalah lima batang.  Mesin parut tersebut mempunyai beberapa bahagian iaitu bahagian parut, bahagian penapisan, bahagian pengaliran air, bahagian pembuangan hampas (pow) dan bahagian mengaliran pati sagu.
Setelah diparut menggunakan mesin ciptaannya sendiri, isi yang diparut diairi untuk mendapatkan pati sagu seperti proses memerah santan dari kelapa yang diparut.  Isi yang diparut itu melalui bahagian penapisan dan diperah kemudiannya diasingkan dari hampas atau dalam bahasa Melanau hampas pokok mulong dipanggil ‘pow’ . Hampas tersebut dialirkan ke kawasan sungai. Kitaran air yang menggunakan sepenuhnya air sungai sentiasa bergerak kerana pemprosesan tepung lemantak ini memerlukan air yang banyak untuk mengasingkan setiap bahagiannya.

Setelah diparut, sabut pokok mulong dibuang. Hampas bersama isi sagu yang tinggal dipisahkan menggunakan penapis besar yang dibuat oleh pak cik itu sendiri. Isi sagu yang terkumpul dialirkan ke dalam ‘jalur’ iaitu sejenis kayu belian yang dibuang isi dalamnya. Menurut Osman, ‘jalur’ yang ada pada beliau adalah daripada peninggalan datuknya. Jalur tersebut di beli daripada orang Iban dengan harga 30 ringgit. Sekarang kata beliau, ‘jalur’ susah untuk didapati lagi kerana kekurangan kayu belian. Terdapat air di dalam ‘jalur’ tersebut untuk memendakkan isi sagu. Setelah selesai semua, isi sagu bersama air yang terdapat dalam ‘jalur’ di buang airnya. Setelah air dibuang, isi sagu tersebut di masukkan di dalam pasu dan sedia untuk dikeringkan.

Proses pengeringan menggunakan ‘tanudak’ adalah sejenis bahan yang menggunakan buluh yang dikait. Setelah dikeringkan dalam keadaan cuaca yang panas. Tepung lemantak sedia untuk diproses menjadi bahan makanan harian masyarakat Melanau seperti linut, tebaloi biji sagu dan sebagainya.

 BIJI SAGU
Biji sagu merupakan salah satu makanan harian bagi penduduk kampung Tellian. Jika dahulu, biji sagu juga adalah makanan utama mereka berbanding nasi. Hal ini kerana kawasan perkampungan mereka bukan dari tanaman padi. Penghasilan sagu mempunyai banyak proses yang akan dikendalikan dan jangka masa untuk membuat sagu juga tidak kurang dari satu hari. Kebanyakkan barang-barang yang digunakan untuk membuat sagu daripada pokok yang berhampiran dikawasan rumah mereka. Biji sagu dihasilkan dengan menggunakan tepung lemantak. Tepung lemantak yang telah dibasuh sehingga menjadi warna putih-keputihan. Hal ini adalah untuk memastikan kebersihan tepung lemantak itu sendiri. Tepung lemantak akan dikeringkan bagi memudahkan proses penghasilannya. Selepas itu, tepung lemantak akan dicampur dengan kelapa parut kering (kerisik), dedak padi, santan, dan garam . Kesemua bahan tadi hendaklah ditumbuk lumat supaya mudah diadun. Sebahagian dari penduduk yang menghasilkan sagu, menggunakan mesin kelapa untuk dijadikan adunannya. Setelah siap, kesemua adunan tadi akan diayak di dalam ‘takung’. ‘Takung’ merupakan acuan khas yang diperbuat daripada batang pokok buluh. Adunan yang telah diayak di dalam takung digelek menggunakan ‘gaah’. ‘Gaah’ merupakan sejenis alat khas yang dianyam menggunakan daun pokok nipah. Selepas itu, gelekan tersebut akan menghasilkan adunan yang berbentuk bulat melalui lubang-lubang yang sedia ada.
Adunan sagu yang digelek tadi diulang dan dimasukkan semula di dalam ‘takung’ bagi mendapatkan bentuk bulat yang sekata. Bentuk bulat yang lebih kecil akan keluar semula dari takung tersebut manakala bentuk bulat yang mempunyai saiz yang sama dengan jaringan takung tidak akan terkeluar semasa diayak. Saiz tersebutlah yang sedia untuk di bakar. Adunan yang terkeluar daripada takung tersebut akan digelek semula dan proses yang sama berulang sehingga tepung habis. Setelah siap digelek, biji sagu yang tertinggal di dalam takung tersebut sedia untuk dibakar. Proses pembakaran dimulakan dengan memanaskan belaga yang diperbuat daripada tanah liat dan bata. Setelah belaga betul-betul panas, biji sagu diletakkan di atas belanga dan dibakar. Pembakaran ini juga tidak menggunakan minyak. Biji sagu harus sentiasa di ratakan menggunakan penyapu lidi bagi memastikan pembakaran seimbang. Masa untuk proses pembakaran ini mengambil masa yang lama iaitu lebih kurang 5jam untuk menjadikan biji sagu menjadi rangup dan sedap untuk dimakan. Biji sagu yang siap dibakar di masukkan di dalam tin dan sedia untuk di jual kepada pelanggan.
 
 

No comments:

Post a Comment