Monday 18 June 2012

Tebaloi

Tabaloi merupakan makanan tradisional Kaum Melanau. Tabaloi diproses dengan dua cara iaitu dengan menggunakan cara tradisional atau moden. Satu kajian Etnografi tentang cara- cara pembuatan Tabaloi telah dijalankan di Kampung Tutus Hilir, Mukah. Di kampung tersebut, lokasi kajian adalah bertempat di kilang pengusaha Tabaloi milik Puan Fatimah.

Menurut penduduk kampung, asal-usul Tabaloi adalah tidak begitu diketahui. Penduduk kampung menceritakan bahawa Tabaloi merupakan snek yang dimakan semasa mereka menjalankan proses membuat sagu. Tabaloi pada zaman dahulu adalah berbeza berbanding Tabaloi yang dihasilkan pada zaman sekarang. Pada zaman dahulu, Tabaloi dihasilkan secara tradisional dengan menggunakan belanga yang besar. Peralatan yang digunakan adalah berbeza kerana belanga yang digunakan adalah ditebuk lubang di bahagian bawahnya. Dalam cara pembuatan tradisional, satu adunan Tabaloi akan mengambil masa selama 1 hari untuk diadun iaitu dari pukul 4 pagi sehingga pukul 7 malam. Manakala pembuatan cara moden pula, Tabaloi dihasilkan dengan menggunakan mesin iaitu mesin parut kelapa, mesin pengadun dan ketuhar.


Tabaloi yang diusahakan oleh Puan Fatimah terdiri daripada 5 perisa. Pada sekitar tahun 1990an, Tabaloi yang dihasilkan adalah tanpa sebarang perisa iaitu berperisa asli. Manakala sekitar tahun 2000, Tabaloi mula dihasilkan dengan berperisa. Tabaloi berperisa yang mula-mula dihasilkan adalah Tabaloi berperisa kunyit. Pada tahun 2010, Tabaloi telah dihasilkan berperisa strawberi, milo, dan pandan. Pada masa akan datang, Puan Fatimah bercadang untuk meningkatkan lagi kualiti Tabaloi yang dihasilkannya iaitu dengan menambahkan lagi perisa-perisa yang sedia ada dalam Tabaloi. Menurut beliau, Tabaloi yang paling digemari oleh masyarakat Malanau adalah Tabaloi berperisa kunyit. Walau bagaimanapun, Tabaloi berperisa asli tetap mendapat sambutan dalam kalangan Masyarakat Melanau.
 
Peralatan Untuk memasak tabaloi:
  1. Mesin pengadun
  2. mesin pengisar kelapa
  3. Ketuhar gelombang
  4. Tempat membakar
  5. Botol
  6. Plastik
  7. Seterika
  8. Mesin pemotong tabaloi

Pengusaha telah memilih untuk menjalankan perusahaan Tabaloi kerana Tabaloi menjadi ekonomi utama keluarga mereka sejak turun temurun. Pengusaha turut merasakan Tabaloi berpontensi untuk menaikkan taraf hidup mereka. Hal ini kerana Tabaloi amat berpontensi sebagai makanan ringan. Pn Fatimah masih lagi menggunakan cara tradisional dalam pembuatan Tabaloi kerana cara ini akan menghasilkan rasa dan aroma Tabaloi yang lebih asli. Pengusaha Tabaloi ini menjelaskan bahawa mereka telah mendapat keuntungan yang lumayan hasil daripada jualan Tabaloi. Pengusaha Tabaloi memasarkan hasil produk mereka ke seluruh negeri Sarawak. Perusahaan mereka turut dibantu oleh kerajaan dibawah persatuan peladang dan JKKK kampung. 

Menurut Puan Fatimah, perusahaan mereka dapat menghasilkan kepingan Tabaloi dalam lebih kurang 1055 keping sehari. Walaupun mereka mendapat keuntungan yang lumayan, namun masih terdapat masalah teknikal yang dihadapi iaitu kelapa, daun pisang dan kayu api agak sukar diperolehi disebabkan kadar harga yang tinggi. Mereka turut menghadapi masalah untuk mendapatkan tanda halal daripada pihak Jakim. Hal ini menyebabkan mereka tidak dapat memasarkan Tabaloi dengan lebih komersial sehingga ke Semenanjung Malaysia. Menurut Puan Fatimah, kilang tabaloi yang disewanya adalah berkadar Rm 10 sehari manakala kadar sewa parut kelapa pula adalah sebanyak 20sen untuk 1kilo kelapa. Mereka tidak membeli mesin pengisar sendiri atau membuka bangunan kilang sendiri walaupun mereka mendapat keuntungan yang lumayan daripada hasil jualan Tabaloi.

Tabaloi mempunyai banyak keistimewaan. Salah satu daripadanya ialah makanan ini telah lama dianggap sebagai makanan ringan dalam kalangan masyarakat Melanau. Tabaloi ini telah diturunkan secara turun temurun dari satu generasi kepada satu generasi. Selain itu, Tabaloi juga mempunyai pelbagai perisa yang diminati ramai. Walau bagaimanapun, Tabaloi yang berperisa asli masih lagi mendapat tempat di hati masyarakat. Keistimewaan makanan ringan ini juga Tabaloi tidak mempunyai sebarang perisa tiruan malah dihasilkan tanpa menggunakan minyak. Tabaloi sangat berkhasiat kerana mengandungi karbohidrat. Ramai pengusaha Tabaloi menggunakan cara moden iaitu dengan menggunakan mesin ketuhar. Walau bagaimanapun, penggunaaan peralatan moden seperti ketuhar akan mengurangkan aroma dan keenakkan rasa Tabaloi. Keistimewaan tabaloi juga makanan ini mampu bertahan dalam jangka masa yang lama kerana produk ini sentiasa berada dalam keadaan kering.