Monday, 18 June 2012

Jerunai Tempat Persemadian Golongan Aristokrat


Jerunai Tempat Persemadian Golongan Aristokrat

Pada zaman lampau, jerunai dijadikan tempat persemadian terakhir untuk golongan aristokrat kaum Melanau atau golongan raja, bangsawan, pemimpin-pemimpin besar dan saudagar-saudagar yang bersifat dermawan kepada masyarakat ini. Jerunai hanya diperbuat daripada kayu belian yang besar dan cukup tua kerana kayu jenis ini tahan lama kepada cuaca panas dan hujan hingga ratusan tahun. Pada tiang jerunai, dikorek dua atau tiga lubang. Lubang di bahagian bawah dan tengah dikhaskan untuk menempatkan mayat atau rangka tulang si mati dan barangan bernilai sebagai bekalan di alam lain. Sementara, lubang di bahagian atas dikhaskan kepada hamba abdi atau orang-orang yang dipilih khas oleh si mati (golongan aristokrat) sewaktu hidupnya. Di bahagian luar tiang jerunai biasanya dilakar indah ukiran bermotifkan binatang seperti naga, harimau, ular, tikus dan sebagainya tertakluk kepada kedudukan pemiliknya.
Jerunei menjadi kebanggaan golongan aristokrat sebagai manifestasi tentang kedaulatan, ketinggian darjat, pengaruh dan kekayaan sewaktu hidup. Masyarakat Melanau dari kalangan orang kebanyakan turut berbangga kerana ia merupakan imej dan keperibadian kaum yang melambang ketamadunan mereka pada waktu itu. Proses membuat jerunai mengambil masa yang lama selain menuntut kesabaran dan kesetiaan kepada raja atau kumpulan aristokrat. Mereka perlu pergi mencari kayu berlian di dalam hutan tebal dan terpaksa membawanya hingga sampai ke kampung. Pembuatan jerunai perlu dilakukan segera  apabila ada orang berkedudukan sakit dan meminta ia dibuat segera. Mereka seakan-akan tahu bahawa maut hampir datang menjemput si pesakit kerana waktu itu tidak ada perubatan lengkap kecuali merujuk kepada bomoh atau dukun. Kemampuan bomoh dan dukun amat terbatas, tetapi keupayaan mereka yang bersandarkan kepada kuasa ghaib kadang kala mampu menyembuhkan pesakit.
Sebelum jerunai didirikan, nyanyian lagu tradisional terlebih dahulu di dendang untuk diperdengarkan kepada para tetamu, kemudian barulah lubang digali untuk menempatkan tiang tersebut. Sebelum upacara menegakkan jerunai dilakukan, para petugas terlebih dahulu menggali lubang sedalam dua meter di tempat yang telah ditetapkan dan mengadakan upacara khas agar roh memberkati segala usaha mereka. Seorang hamba abdi perlu dihumban ke dalam lubang tempat jerunai hendak dipacak. Pada ketika ini, suasana sayu menyelubungi keluarga diraja dan hamba abdi. Raungan tangisan kedengaran di kawasan tanah perkuburan sebagai simbolik agar roh si mati sejahtera sampai ke alam lain dan tidak akan mengganggu mereka yang masih hidup

No comments:

Post a Comment