Monday, 18 June 2012

Tebaloi

Tabaloi merupakan makanan tradisional Kaum Melanau. Tabaloi diproses dengan dua cara iaitu dengan menggunakan cara tradisional atau moden. Satu kajian Etnografi tentang cara- cara pembuatan Tabaloi telah dijalankan di Kampung Tutus Hilir, Mukah. Di kampung tersebut, lokasi kajian adalah bertempat di kilang pengusaha Tabaloi milik Puan Fatimah.

Menurut penduduk kampung, asal-usul Tabaloi adalah tidak begitu diketahui. Penduduk kampung menceritakan bahawa Tabaloi merupakan snek yang dimakan semasa mereka menjalankan proses membuat sagu. Tabaloi pada zaman dahulu adalah berbeza berbanding Tabaloi yang dihasilkan pada zaman sekarang. Pada zaman dahulu, Tabaloi dihasilkan secara tradisional dengan menggunakan belanga yang besar. Peralatan yang digunakan adalah berbeza kerana belanga yang digunakan adalah ditebuk lubang di bahagian bawahnya. Dalam cara pembuatan tradisional, satu adunan Tabaloi akan mengambil masa selama 1 hari untuk diadun iaitu dari pukul 4 pagi sehingga pukul 7 malam. Manakala pembuatan cara moden pula, Tabaloi dihasilkan dengan menggunakan mesin iaitu mesin parut kelapa, mesin pengadun dan ketuhar.


Tabaloi yang diusahakan oleh Puan Fatimah terdiri daripada 5 perisa. Pada sekitar tahun 1990an, Tabaloi yang dihasilkan adalah tanpa sebarang perisa iaitu berperisa asli. Manakala sekitar tahun 2000, Tabaloi mula dihasilkan dengan berperisa. Tabaloi berperisa yang mula-mula dihasilkan adalah Tabaloi berperisa kunyit. Pada tahun 2010, Tabaloi telah dihasilkan berperisa strawberi, milo, dan pandan. Pada masa akan datang, Puan Fatimah bercadang untuk meningkatkan lagi kualiti Tabaloi yang dihasilkannya iaitu dengan menambahkan lagi perisa-perisa yang sedia ada dalam Tabaloi. Menurut beliau, Tabaloi yang paling digemari oleh masyarakat Malanau adalah Tabaloi berperisa kunyit. Walau bagaimanapun, Tabaloi berperisa asli tetap mendapat sambutan dalam kalangan Masyarakat Melanau.
 
Peralatan Untuk memasak tabaloi:
  1. Mesin pengadun
  2. mesin pengisar kelapa
  3. Ketuhar gelombang
  4. Tempat membakar
  5. Botol
  6. Plastik
  7. Seterika
  8. Mesin pemotong tabaloi

Pengusaha telah memilih untuk menjalankan perusahaan Tabaloi kerana Tabaloi menjadi ekonomi utama keluarga mereka sejak turun temurun. Pengusaha turut merasakan Tabaloi berpontensi untuk menaikkan taraf hidup mereka. Hal ini kerana Tabaloi amat berpontensi sebagai makanan ringan. Pn Fatimah masih lagi menggunakan cara tradisional dalam pembuatan Tabaloi kerana cara ini akan menghasilkan rasa dan aroma Tabaloi yang lebih asli. Pengusaha Tabaloi ini menjelaskan bahawa mereka telah mendapat keuntungan yang lumayan hasil daripada jualan Tabaloi. Pengusaha Tabaloi memasarkan hasil produk mereka ke seluruh negeri Sarawak. Perusahaan mereka turut dibantu oleh kerajaan dibawah persatuan peladang dan JKKK kampung. 

Menurut Puan Fatimah, perusahaan mereka dapat menghasilkan kepingan Tabaloi dalam lebih kurang 1055 keping sehari. Walaupun mereka mendapat keuntungan yang lumayan, namun masih terdapat masalah teknikal yang dihadapi iaitu kelapa, daun pisang dan kayu api agak sukar diperolehi disebabkan kadar harga yang tinggi. Mereka turut menghadapi masalah untuk mendapatkan tanda halal daripada pihak Jakim. Hal ini menyebabkan mereka tidak dapat memasarkan Tabaloi dengan lebih komersial sehingga ke Semenanjung Malaysia. Menurut Puan Fatimah, kilang tabaloi yang disewanya adalah berkadar Rm 10 sehari manakala kadar sewa parut kelapa pula adalah sebanyak 20sen untuk 1kilo kelapa. Mereka tidak membeli mesin pengisar sendiri atau membuka bangunan kilang sendiri walaupun mereka mendapat keuntungan yang lumayan daripada hasil jualan Tabaloi.

Tabaloi mempunyai banyak keistimewaan. Salah satu daripadanya ialah makanan ini telah lama dianggap sebagai makanan ringan dalam kalangan masyarakat Melanau. Tabaloi ini telah diturunkan secara turun temurun dari satu generasi kepada satu generasi. Selain itu, Tabaloi juga mempunyai pelbagai perisa yang diminati ramai. Walau bagaimanapun, Tabaloi yang berperisa asli masih lagi mendapat tempat di hati masyarakat. Keistimewaan makanan ringan ini juga Tabaloi tidak mempunyai sebarang perisa tiruan malah dihasilkan tanpa menggunakan minyak. Tabaloi sangat berkhasiat kerana mengandungi karbohidrat. Ramai pengusaha Tabaloi menggunakan cara moden iaitu dengan menggunakan mesin ketuhar. Walau bagaimanapun, penggunaaan peralatan moden seperti ketuhar akan mengurangkan aroma dan keenakkan rasa Tabaloi. Keistimewaan tabaloi juga makanan ini mampu bertahan dalam jangka masa yang lama kerana produk ini sentiasa berada dalam keadaan kering.



Bebayoh

Menurut Augustine Bin Aanyub 79 tahun , yang berasal dari Kampung Tellian Hulu mengatakan bahawa bebayoh dan berayun adalah upacara yang sama dalam perubatan untuk mengubati pesakit. Orang yang bebayoh dipanggil ‘sebilak’. Upacara bebayoh menggunakan mayang pinang dan juga bunga-bungaan yang wangi. Upacara ini menggunakan bahasa melanau untuk menjampi pesakit. Semasa upacara ini dijalankan, pesakit yang akan dirawat berada dalam keadaan baring ataupun duduk. Pesakit akan dimandikan dengan air bunga yang telah diisi dalam bekas, manakala mayang pinang pula akan diusap di kepala pesakit. Menurut beliau juga, bebayoh juga dipanggil berayun. Berayun merupakan permulaan kepada upacara bebayoh. Upacara ini dilakukan dirumah dan dilakukan pada waktu malam. Orang yang sakit akan berayun manakala orang yang bebayoh pula akan menolak orang yang sakit supaya berayun. Berayun menggunakan rotan yang digantung pada kedua-dua tiang dan terdapat loceng disebelah kanan dan kiri rotan tersebut. Upacara ini dijalankan selama seminggu.
Manakala bagi Marpok bin Sarbuna,84 tahun yang berasal dari Kampung Tellian Hulu pula mengatakan bahawa bebayoh dan berayun adalah dua upacara yang berbeza dalam kepercayaan untuk mengubati pesakit. Orang yang dirasuk, akan diubati dengan cara bebayoh. Dalam upacara ini, aktiviti bergendang akan dijalankan. Bergendang akan dimainkan oleh kaum lelaki dan juga perempuan secara silih berganti. Upacara ini menggunakan kemenyan, minyak dan bunga yang wangi seperti bunga kasturi untuk memandikan pesakit. Menurut beliau, berayun pula merupakan upacara yang mana pesakit itu berayun diatas rotan halus yang dipanggil rotan sigar. Aktiviti berayun menggunakan empat tali untuk pesakit berayun. Dalam masa yang sama, aktiviti bergendang turut dijalankan selama tujuh malam. Selepas tujuh hari, rotan tersebut akan dibuka.
Sementara bagi Kudat bin Meguok, 78 tahun merupakan Ketua Adat Kampung Tellian Hulu, tidak menyatakan tentang bebayoh tetapi menjelaskan tentang berayun. Menurut beliau, upacara berayun berbentuk segiempat yang mempunyai empat tiang dimana dua dikanan dan juga dua dikiri.Pada tiang tersebut, diletakkan rotan sigar untuk pesakit berayun. Upacara ini dilakukan pada waktu malam di antara jam tujuh hingga dua belas malam. Upacara ini dilakukan dirumah dan upacara bergendang juga turut dilakukan. Muzik yang dimainkan adalah berbeza. Berayun dan bergendang dilakukan tanpa henti dan orang yang bergendang silih berganti.


Menurut Raini bin Rini, 43 tahun yang merupakan penduduk Kampung Tellian Mukah, bayoh adalah satu perubatan tradisional yang hanya diwarisi oleh orang tertentu sahaja. Bapanya Rini bin Inyou, 91 tahun merupakan orang yang masih melakukan perubatan bebayoh. Beliau mewarisi daripada datuk neneknya. Biasanya upacara bebayoh ini dilakukan pada waktu petang. Antara peralatan yang diperlukan dalam upacara bebayoh ialah gendang, bara api, kemenyan, daun tebawan, minyak ludar (cap duyung), buah kelapa, lilin, bunga untuk mandian dan pisau lipat sebagai pengeras. Peralatan ini mempunyai kegunaannya yang tersendiri contohnya seperti minyak ludar. Minyak ludar  diperlukan untuk menyapu permukaan gendang itu kerana dipercayai wangian daripada minyak tersebut dapat menyeru roh-roh yang akan membantu dalam upacara bebayoh ini. Terlebih dahulu gendang akan disapu dengan minyak ludar, kemudian gendang tersebut diletakkan di atas bara api kerana menurut dukun, gendang akan berbunyi lebih nyaring apabila dipanaskan. Kemudian, daun tebawan pula, akan diasapkan dengan kemenyan. Selepas itu, dukun yang bebayoh akan mula memukul gendang dan menyeru epok (roh) sambil membaca mantera-mantera tertentu dalam bahasa Melanau. Upacara ini dimulakan dengan membakar kemenyan dan membiarkan asap daripada pembakaran kemenyan tersebut di udara. Kemudian daun tebawan diasapkan diatas asap dan disapukan pada pesakit. Kaedah ini dinamakan “sumpit”. Sumpit ini bertujuan untuk membuang makhluk-makhluk halus daripada badan pesakit. Penyakit yang dihadapi oleh pesakit akan dikeluarkan melalui  daun tersebut.
Menurut Raini lagi, semua penyakit boleh menggunakan daun tebawan sebagai bahan untuk membuang makhluk halus daripada badan pesakit. Selain menggunakan daun tebawan daun sireh pinang juga boleh digunakan serta bunga digunakan untuk mandi dan hanya orang yang mengubat sahaja boleh memandikan pesakit. Penyakit yang dihadapi oleh pesakit akan   dibuang melalui air mandian tadi. Pantang larang semasa dalam proses berubat, pesakit  tidak boleh menyentuh ikan mentah selama tiga hari. Sekiranya pesakit ingin makan, orang lain perlu menyediakannya dan jika  pesakit ingkar dengan pantang larang tersebut, ini akan memudaratkan lagi penyakit yang dihadapi oleh pesakit, malah boleh membawa kematian. Lilin pula digunakan untuk melihat sejauh mana jangka hayat pesakit. Pesakit akan diminta menyalakan lilin dan kemudian orang yang mengubat akan melihat nyalaan lilin tersebut. Menurut Rini, sekiranya nyalaan lilin itu kuat, ini bermaksud hayat pesakit tersebut masih panjang tetapi sekiranya nyalaan lilin tersebut lemah seperti lampu yang tiada minyak, ini bermaksud hayat pesakit tersebut pendek.
Setelah tamat upacara dilakukan, segala bahan yang digunakan semasa upacara dilakukan seperti daun tebawan dan lilin akan diletakkan di dalam buah kelapa kemudian buah kelapa itu akan dihanyutkan di dalam sungai. Hal ini kerana segala penyakit akan dihanyutkan bersama dengan buah kelapa tersebut. Tetapi untuk mengambil buah kelapa tersebut,  terdapat syarat iaitu, buah kelapa tidak boleh jatuh ke atas tanah kerana dipercayai tidak mujarab. Sebelum memetik buah kelapa perlu meminta izin terlebih dahulu, kerana tidak boleh mengambilnya sesuka hati.
 Pisau lipat dijadikan sebagai pengeras. Walaubagaimanapun, pisau lipat ini mestilah yang baru dan belum digunakan. Hal ini kerana pisau lipat  dipercayai sebagai pengganti diri pesakit, sekiranya pesakit memberi pisau lipat yang sudah digunakan, ia memudaratkan lagi diri pesakit. Pisau lipat yang sudah digunakan bermakna pisau tersebut tidak tahan lama, begitu juga dengan diri pesakit yang tidak akan bertahan lama dan sebaliknya. Hal yang demikian pisau lipat diperlukan sebagai pengeras. Selain pisau lipat, pesakit juga boleh memberi benda lain seperti duit atau bahan makanan kepada orang yang mengubat sebagai pengeras tetapi hendaklah ikhlas dari dalam hati.

Dakan

Menurut Augustine Bin Aanyub, Dakan merupakan patung yang diperbuat daripada dahan rumbia. Patung ini juga dikenali sebagai patung yang digunakan untuk mengubati pelbagai jenis penyakit. Pesakit yang tidak dapat diubati dengan upacara bebayoh baru akan menggunakan dakan. Terdapat pelbabai jenis bentuk dan saiz patung dakan yang dibuat mengikut jenis-jenis penyakit. Selepas pesakit telah dikenalpasti penyakit yang dihadapinya melalui upacara bebayoh, pesakit akan dilanjutkan kepada orang yang mengubati penyakit menggunakan dakan. Dahan rumbia akan diukir mengikut jenis penyakit yang dihadapi, dimulakan daripada mengukir bahagian badan patung dan barulah mata patung dakan boleh diukir. Selepas patung dakan dihasilkan, pesakit akan duduk, patung dakan akan berada di atas kepala pesakit dan seterusnya air disiram dari atas patung dakan terus ke pasakit yang duduk. Jampi digunakan semasa patung dakan dibuat. Selepas berubat, patung yang digunakan akan dibuang dan dihanyutkan ke sungai yang jauh dari kawasan perumahan. Selain itu, patung dakan yang telah dihanyutkan ke sungai tidak boleh diambil dan dikatakan jika menjumpai atau menganggu patung tersebut seperti memotong patung dakan itu, nescaya mereka akan meninggal dunia. Menurutnya lagi, patung dakan juga tidak boleh disimpan di dalam rumah dan mesti dihanyutkan ke sungai.

Jerunai

 


JERUNAI


Jerunai adalah salah satu lambang yang bersejarah bagi masyarakat Melanau. Jerunai telah dijadikan tempat persemadian orang-orang bangsawan Melanau pada masa dahulu tetapi tidak lagi diamalkan pada masa sekarang. Hal ini kerana masyarakat sekarang lebih bertamadun berbanding dengan masyarakat zaman dahulu. Ramai yang menjadi korban daripada pembinaan jerunai ini. Tetapi cerita yang unik mengenai jerunai ini telah menarik minat ramai pengkaji untuk mengetahui lebih mendalam lagi tentang jerunai.
Menurut penduduk Kampung Tellian Mukah, penggunaan jerunai telah dihapuskan apabila fahaman dan pengajaran agama mulai bertapak di Mukah dan juga kerana arus kemodenan. Apabila kajian yang dilakukan oleh pelajar kursus Etnografi visual pada tahun 2011, kebanyakkan penduduk tidak tahu mengenai cerita disebalik jerunai kerana penggunaan jerunai ini sudah dihapuskan beratus-ratus tahun dahulu. Di Mukah masih terdapat kesan sejarah Jerunai yang terus berdiri teguh di kawasan Kampung Tellian Tengah, Mukah. Ada diantaranya sudah haus dimamah usia kerana terdedah pada hujan dan terik matahari.
Menurut sumber dari ketua kampung Tellian, penghulu Lai dari sumber yang pernah beliau perolehi iaitu Noraini Mahyan. Menurut beliau,  pada zaman lampau, jerunai dijadikan tempat persemadian terakhir untuk golongan orang yang dihormati kaum Melanau atau golongan raja, bangsawan, pemimpin-pemimpin besar dan saudagar-saudagar yang bersifat dermawan kepada masyarakat ini. Jerunai hanya diperbuat daripada kayu belian yang besar dan cukup tua kerana kayu jenis ini tahan lama kepada cuaca panas dan hujan hingga ratusan tahun.Pada tiang jerunai, dikorek dua atau tiga lubang. Lubang di bahagian bawah dan tengah dikhaskan untuk menempatkan mayat atau rangka tulang si mati dan barangan bernilai sebagai bekalan di alam lain. Sementara, lubang di bahagian atas dikhaskan kepada hamba abdi atau orang-orang yang dipilih khas oleh si mati sewaktu hidupnya.Di bahagian luar tiang jerunai biasanya dilakar indah ukiran bermotifkan binatang seperti naga, harimau, ular, tikus dan sebagainya tertakluk kepada kedudukan pemiliknya.
Jerunai menjadi kebanggaan golongan bangsawan sebagai manifestasi tentang kedaulatan, ketinggian darjat, pengaruh dan kekayaan sewaktu hidup. Masyarakat Melanau dari kalangan orang kebanyakan turut berbangga kerana ia merupakan imej dan keperibadian kaum yang melambang ketamadunan mereka pada waktu itu. Proses membuat jerunai mengambil masa yang lama selain menuntut kesabaran dan kesetiaan kepada raja atau kumpulan yang hebat-hebat. Mereka perlu pergi mencari kayu berlian di dalam hutan tebal dan terpaksa membawanya hingga sampai ke kampung. Pembuatan untuk membuat dan mencari jerunai perlu dilakukan segera  apabila ada orang berkedudukan itu sakit dan meminta ia dibuat segera. Mereka seakan-akan tahu bahawa maut hampir datang menjemput si pesakit kerana waktu itu tidak ada perubatan lengkap kecuali merujuk kepada bomoh atau dukun.Kemampuan bomoh dan dukun amat terbatas, tetapi keupayaan mereka yang bersandarkan kepada kuasa ghaib kadang kala mampu menyembuhkan pesakit.
Sebelum jerunai didirikan, nyanyian lagu tradisional terlebih dahulu didendangkan untuk diperdengarkan kepada para tetamu, kemudian barulah lubang digali untuk menempatkan tiang tersebut. Sebelum upacara menegakkan jerunai dilakukan, para petugas terlebih dahulu menggali lubang sedalam dua meter di tempat yang telah ditetapkan dan mengadakan upacara khas agar roh memberkati segala usaha mereka. Seorang hamba abdi perlu dihumban ke dalam lubang tempat jerunai hendak dipacak. Pada ketika ini, suasana sayu menyelubungi keluarga diraja dan hamba abdi. Raungan serta tangisan yang kuat kedengaran di kawasan tanah perkuburan sebagai simbolik agar roh si mati sejahtera sampai ke alam lain dan tidak akan mengganggu mereka yang masih hidup.
Selain itu, pengkaji juga mempunyai maklumat yang sedikit berbeza dari penduduk kampung Tellian iaitu jerunai ini dibina menggunakan kayu belian yang boleh tahan lama.Sekiranya ada golongan bangsawan yang meninggal dunia, barulah jerunai ini dibangunkan.Untuk membangunkan jerunai ini memerlukan tenaga yang banyak dan kuat kerana bukan mudah untuk menaikkan batang jerunai ini. Batang jerunai ini akan digunakan untuk mengiringi orang bangsawan yang telah meninggal dunia. Beliau juga menyatakan bahawa seketika waktu dahulu iaitu seorang budak yatim piatu akan menjadi korban. Budak tersebut akan digantung pada tengah-tengah dua tiang yang dibangunkan untuk mengebumikan golongan bangsawan yang meninggal dunia. Budak tersebut dikatakan akan digantung sehingga budak meninggal dunia. Menurut kepercayaan orang kampung lagi, budak itu adalah pengiring golongan bangsawan yang baru meninggal dunia. Sebelum budak itu meninggal, sesiapa sahaja yang melalui diantara kedua-dua jerunai itu, mereka akan berkayuh sekuat hati di bawah budak tersebut, hal ini bertujuan percikkan air yang dikayuh terpercik sehingga masuk ke dalam mulut budak tersebut untuk menghilangkan kehausan. Perkara ini akan berlaku sehinggalah budak tersebut meninggal dunia.
Banyak kajian sudah dilakukan mengenai jerunai ini. Salah satunya adalah kajian yang dilakukan oleh Dr. Jeniri Amir pada tahun 1970 dan 1980. Daripada kajian yang dilakukan, hamba abdi yang dijadikan korban melontarkan rasa marah dan sumpah sarakah sambil meminta belas agar air sungai sampai kepada mereka walaupun setitik. Keratan lagu sumpah sarakah mereka ialah :
“Datang-datanglah dekat padaku,
takkan kamu tak kasihani aku,
Aku amat haus dahaga.

Aku bukan hamba abdi kamu,
Angkatlah pengayuh mu tinggi-tinggi,

agar percikan air dari pengayuh itu,
dapatlah menghilang sedikit dahaga ku,

ku sumpahkan agar sesiapa daripada kamu yang menyiksa aku,
Atas dosa yang tidak pernah aku lakukan, aku sumpahkan,
Tak seorangpun daripada kamu, anak-anak dan cucu-cicit kamu selamat”

Jerunai diperbuat daripada pokok kayu belian yang besar dan cukup matang. Hal ini diketahui bahawa hanyalah kayu belian sajalah yang tahan lama didedah pada tempat terbuka. Biasanya tiga atau dua buah lubang dikorek pada tiang Jerunai tersebut.Pada lubang bawah dan tengah adalah untuk menempatkan mayat atau rangka tulang si mati dan alat kelengkapan seperti barang-barang bernilai sebagai bekalan pada dunia baru atau alam mati.Manakala lubang di atas biasanya di khaskan kepada hamba abdi atau orang-orang yang dipilih khas oleh si mati sewaktu hidupnya.
Pada luar tiang Jerunai biasanya diukir indah dengan bermotifkan binatang seperti naga, harimau, ular, tikus dan sebagainya tertakluk kepada kedudukan pemiliknya. Begitu juga dengan ketinggian Jerunei melambangkan kedudukan dan darjat pemiliknya. Selain itu, terdapat juga jerunai yang diukir dengan bermotifkan alam flora dan buah-buahan seperti nenas dan sebagainya. Kebiasaanya,  ketinggian Jerunei ialah dari 12 meter ke 15 meter. Jerunai hanya dilakukan oleh orang-orang yang mahir, tegap dan tinggi semangatnya sahaja layak untuk membuat, mengukir dan mendirikan jerunai. Kerja-kerja pembuatan dilakukan seramai 15 ke 30 oleh orang bertanggungjawab dan haruslah orang-orang dibuat oleh orang Melanau.

Penggunaan Jerunai sebagai alat perkuburan bangsawan Melanau hanya dipraktikkan dalam zaman animism beratus-ratus tahun dahulu. Jerunai adalah kebanggaan mereka sebagai manifestasi tentang kedaulatan, ketinggian darjat, pengaruh dan kekayaan sewaktu hidupnya.Masyarakat Melanau biasa pun turut bangga kerana itulah imej dan keperibadian kaum yang melambang ketamadunan mereka waktu itu. Seperti juga penganut agama atau kepercayaan lain bahawa akan ada alam lain sesudah mati.  
Proses membuat Jerunei mengambil masa yang panjang selain menuntut kesabaran dan kesetiaan kepada raja atau kumpulan bangsawan Melanau. Mereka ke hutan rimba mencari belian. Sesudah itu dibawa ke kampung untuk proses pembuatannya. Perbuatan Jerunei cuma akan dikenal pasti apabila orang berdarjat itu sakit dan meminta agar Jerunei segera dibuat. Mereka seakan-akan tahu bahawa maut sudah dekat datang menjemput kerana waktu itu tidak ada perubatan yang lengkap kecuali apabila seseorang itu sakit.

Adat Bermukun

Masyarakat Melayu Sarawak mempunyai pelbagai aktiviti-aktiviti kesenian yang berteraskan adat dan budaya. Selain itu, masyarakat Sarawak mempunyai sastera rakyat seperti lagu, tradisi dan pelbagai permainan, Adat bermukun atau bergendang adalah salah satu tradisi yang paling popular di kalangan masyarakat melayu Sarawak termasuklah kaum Melanau.

            Bermukun atau bergendang adalah salah satu adat yang merupakan khazanah budaya dan kesenian yang diwarisi masyarakat Melayu Sarawak daripada nenek moyang mereka. Aktiviti ini sangat unik kerana mempunyai keistimewaan tersendiri sebagai aktiviti bersuka ria yang diadakan dalam keadaan terbuka dan terang di khalayak orang ramai.

Masyarakat kaum Melanau mempunyai adat bermukun yang masih diamalkan. Kebiasaannya, adat bermukun bagi kaum Melanau diadakan ketika malam majlis perkahwinan selepas persandingan dilangsungkan. Aktiviti ini dijalankan seperti berpantun, berjoget, dan berkaraoke. Selain itu, aktitiviti ini, dapat mengeratkan hubungan silaraturahim orang kampung, dapat berkerjasama antara satu sama lain dan dapat mengenali budaya serta adat tersebut.



 
Aktiviti bermukun ini, dikendalikan dikalangan wanita seramai dua atau lebih yang duduk di bahagian balik tabir untuk  memukul gendang sambil berpantun. Mereka ini dipanggil atau dikenali sebagai ‘tukang bergendang’ atau ‘seh bergendang’. Kaum lelaki pula akan duduk secara berselerak mengikut kesesuaian atau keselesaan masing-masing di luar tabir. Namun begitu, mereka meninggalkan ruang di bahagian tengah berdekatan tabir sebagai gelanggang tarian. Aktiviti ini dilakukan secara bergilir-gilir dengan pasangan masing-masing. Kaum lelaki berperanan bermain biola mengiringi seh bergendang untuk menjadikan irama lebih menarik dan merdu. Selain itu, penggesek biola yang akan menjadi ikutan seh bergendang ketika berpantun dan bermukun. Kebiasaannya aktiviti ini berlangsung sepanjang malam hinggalah ke subur mengikut kehendak atau kemampuan seh bergendang dengan keizinan tuan rumah.
  
Aktiviti ini dilangsungkan adalah untuk bersuka ria, secara tidak langsung menjadi temasya muda-mudi mencari pasangan ketika berjoget. Aktiviti ini juga, dilangsungkan untuk pihak lelaki mencari dan mengenali gadis idaman mereka. Secara tradisi, apabila pihak lelaki sudah berkenan atau suka dengan wanita tersebut, pihak lelaki akan menyusul dengan majlis merisik dan meminang.

Peralatan untuk aktiviti bermukun atau bergendang ini seperti gendang, biola, gong dan sidak. Sidak adalah sejenis alat iaitu lengkungan rotan untuk menegangkan kulit kambing agar bunyi gendang yang terhasil itu kuat ketika dipukul. Ada juga sidak yang menggunakan kulit kayu yang dipintal seperti tali rotan, tetapi peralatan ini sukar dicari dan diperolehi. Peralatan ini adalah sangat penting dalam melakukan aktiviti bermukun ini.

Secara kesimpulannya, aktiviti bermukun atau bergendang sungguh popular dikalangan masyarakat Sarawak yang amat digemari serta sering diadakan pada majlis keramaian seperti perkahwinan dan berkhatan bagi menghiburkan tetamu yang hadir. Aktiviti bermukun ini bukan hanya untuk masyarakat Melanau yang menjadikan aktiviti bermukun ini sebagai hiburan tetapi kaum Bidayuh juga turut mengamalkannya. 

Batang Pagan

Menurut Raini bin Rini, batang Pagan adalah salah satu kepercayaan masyarakat Melanau di Kampung Tellian, Mukah. Batang Pagan ini satu-satunya terdapat di Kampung Tellian, Mukah. Pagan bermaksud melintang dan batang ini dikatakan terletak secara melintang di dalam sungai Kampung Tellian. Menurutnya lagi, batang Pagan berfungsi untuk menahan air daripada mengalir masuk ke Kampung Tellian dan dipercayai dapat menghalang penyakit. Batang Pagan juga dipercayai boleh mengubati penyakit seperti kolera, taun dan sakit perut. Kepercayaan ini masih dipercayai sehingga kini. Beliau turut memberitahu bahawa batang tersebut mempunyai penunggu dan dikatakan setiap orang yang ingin menggunakannya hanya boleh mengambil sekali sahaja dan tidak boleh diambil sesuka hati. Untuk mengambilnya mestilah meletakkan paku sebagai pengganti. Menurut Raini, sekiranya kita tidak meletakkan paku, penunggu batang Pagan tersebut akan datang menemui kita dalam mimpi untuk menanyakan tujuan mengambil batang tersebut. Sekiranya kita tidak meletakkan paku, ini bermaksud kita sudah menceroboh tempat penunggu batang Pagan tersebut. Menurut Raini, salah seorang penduduk telah mengambil barang seperti serpihan-serpihan lama dari dalam sungai tersebut. Mereka menjumpai barang tersebut ketika cuba mendalamkan sungai. Penduduk yang telah mengambil barang tersebut telah bermimpi mengenai penunggu batang Pagan dengan menyuruh mereka memulangkan kembali barang tersebut ke tempat asal. Sekiranya mereka enggan mereka akan mati.


 


MULID

Mulid merupakan satu kepercayaan yang hanya digunakan pada waktu-waktu tertentu sahaja.  Kepercayaan yang hanya ada pada seorang wanita yang telah berumah tangga. Kasih sayang yang telah diberikan oleh kaum wanita terhadap suami atau bapa mereka yang telah meninggal dunia. Mulid tidak boleh digunakan dan diamalkan oleh orang sebarangan. Ia juga daripada bekas orang yang telah meninggal dunia dan haruslah dikebumikan dalam keadaan yang beradat. Erti kata lain, hanya balu sahaja yang layak untuk mengamalkan kepercayaan Mulid ini.

Kepercayaan Mulid akan diamalkan selepas seorang suami atau ayah meninggal dunia. Seorang sahaja diperlukan untuk menggunakan mulid dalam satu keluarga. Seseorang itu haruslah memakai terendak dan berpakaian hitam apabila keluar rumah. Selain itu, bagi perempuan mestilah memakai selendang apabila keluar dari rumah. Perkara ini juga akan dilakukan selama setahun dari hari seseorang yang disayangi itu meninggal dunia.
Pengkaji juga diberitahu bahawa, si mati haruslah disimpan 3hari dan kuburnya juga hendaklah dibiarkan selama 3 hari dari hari si mati meninggal dunia. Sepanjang 3 hari itu, orang yang memakai mulid tidak dibenarkan keluar dari rumah. Mulid hendaklah dibuat dirumah.
 Kepercayaan ini juga mempunyai pantang larangnya. Pantang larangnya ialah apa-apa jenis binatang tidak dibenarkan makan selama tempoh pemakaian mulid. Selain itu, ulat mulong  juga tidak dibenarkan makan sama sekali dan ahli keluarga haruslah mandi sebelum naik ke  rumah untuk mengelakkan badi.

 

SAGU II

PROSES TEPUNG LEMANTAK
Proses pertama untuk menjadikan tepung lemantak adalah bahagian-bahagian kecil pokok mulong dibuang kulit yang keras dan dibelah kepada bahagian yang lebih kecil.  Bahagian kecil tersebut dimasukkan ke dalam mesin parut untuk mengasingkan hampas dan isi sagu tersebut. Mengikut Osman dan isterinya  Catherine, proses pemparutan mengambil masa setengah hari jika jumlah pokok mulong yang dibelah-belah adalah lima batang.  Mesin parut tersebut mempunyai beberapa bahagian iaitu bahagian parut, bahagian penapisan, bahagian pengaliran air, bahagian pembuangan hampas (pow) dan bahagian mengaliran pati sagu.
Setelah diparut menggunakan mesin ciptaannya sendiri, isi yang diparut diairi untuk mendapatkan pati sagu seperti proses memerah santan dari kelapa yang diparut.  Isi yang diparut itu melalui bahagian penapisan dan diperah kemudiannya diasingkan dari hampas atau dalam bahasa Melanau hampas pokok mulong dipanggil ‘pow’ . Hampas tersebut dialirkan ke kawasan sungai. Kitaran air yang menggunakan sepenuhnya air sungai sentiasa bergerak kerana pemprosesan tepung lemantak ini memerlukan air yang banyak untuk mengasingkan setiap bahagiannya.

Setelah diparut, sabut pokok mulong dibuang. Hampas bersama isi sagu yang tinggal dipisahkan menggunakan penapis besar yang dibuat oleh pak cik itu sendiri. Isi sagu yang terkumpul dialirkan ke dalam ‘jalur’ iaitu sejenis kayu belian yang dibuang isi dalamnya. Menurut Osman, ‘jalur’ yang ada pada beliau adalah daripada peninggalan datuknya. Jalur tersebut di beli daripada orang Iban dengan harga 30 ringgit. Sekarang kata beliau, ‘jalur’ susah untuk didapati lagi kerana kekurangan kayu belian. Terdapat air di dalam ‘jalur’ tersebut untuk memendakkan isi sagu. Setelah selesai semua, isi sagu bersama air yang terdapat dalam ‘jalur’ di buang airnya. Setelah air dibuang, isi sagu tersebut di masukkan di dalam pasu dan sedia untuk dikeringkan.

Proses pengeringan menggunakan ‘tanudak’ adalah sejenis bahan yang menggunakan buluh yang dikait. Setelah dikeringkan dalam keadaan cuaca yang panas. Tepung lemantak sedia untuk diproses menjadi bahan makanan harian masyarakat Melanau seperti linut, tebaloi biji sagu dan sebagainya.

 BIJI SAGU
Biji sagu merupakan salah satu makanan harian bagi penduduk kampung Tellian. Jika dahulu, biji sagu juga adalah makanan utama mereka berbanding nasi. Hal ini kerana kawasan perkampungan mereka bukan dari tanaman padi. Penghasilan sagu mempunyai banyak proses yang akan dikendalikan dan jangka masa untuk membuat sagu juga tidak kurang dari satu hari. Kebanyakkan barang-barang yang digunakan untuk membuat sagu daripada pokok yang berhampiran dikawasan rumah mereka. Biji sagu dihasilkan dengan menggunakan tepung lemantak. Tepung lemantak yang telah dibasuh sehingga menjadi warna putih-keputihan. Hal ini adalah untuk memastikan kebersihan tepung lemantak itu sendiri. Tepung lemantak akan dikeringkan bagi memudahkan proses penghasilannya. Selepas itu, tepung lemantak akan dicampur dengan kelapa parut kering (kerisik), dedak padi, santan, dan garam . Kesemua bahan tadi hendaklah ditumbuk lumat supaya mudah diadun. Sebahagian dari penduduk yang menghasilkan sagu, menggunakan mesin kelapa untuk dijadikan adunannya. Setelah siap, kesemua adunan tadi akan diayak di dalam ‘takung’. ‘Takung’ merupakan acuan khas yang diperbuat daripada batang pokok buluh. Adunan yang telah diayak di dalam takung digelek menggunakan ‘gaah’. ‘Gaah’ merupakan sejenis alat khas yang dianyam menggunakan daun pokok nipah. Selepas itu, gelekan tersebut akan menghasilkan adunan yang berbentuk bulat melalui lubang-lubang yang sedia ada.
Adunan sagu yang digelek tadi diulang dan dimasukkan semula di dalam ‘takung’ bagi mendapatkan bentuk bulat yang sekata. Bentuk bulat yang lebih kecil akan keluar semula dari takung tersebut manakala bentuk bulat yang mempunyai saiz yang sama dengan jaringan takung tidak akan terkeluar semasa diayak. Saiz tersebutlah yang sedia untuk di bakar. Adunan yang terkeluar daripada takung tersebut akan digelek semula dan proses yang sama berulang sehingga tepung habis. Setelah siap digelek, biji sagu yang tertinggal di dalam takung tersebut sedia untuk dibakar. Proses pembakaran dimulakan dengan memanaskan belaga yang diperbuat daripada tanah liat dan bata. Setelah belaga betul-betul panas, biji sagu diletakkan di atas belanga dan dibakar. Pembakaran ini juga tidak menggunakan minyak. Biji sagu harus sentiasa di ratakan menggunakan penyapu lidi bagi memastikan pembakaran seimbang. Masa untuk proses pembakaran ini mengambil masa yang lama iaitu lebih kurang 5jam untuk menjadikan biji sagu menjadi rangup dan sedap untuk dimakan. Biji sagu yang siap dibakar di masukkan di dalam tin dan sedia untuk di jual kepada pelanggan.
 
 

SAGU

Masyarakat Melanau terkenal dengan makanan tradisionalnya iaitu sagu. Satu kajian telah  dilakukan di kampung Tellian Tengah. Kajian yang kami lakukan adalah bertumpu di rumah penduduk asal yang menghasilkan sagu iaitu Augustine Anyub bin Kusau yang berusia 79 tahun dan anaknya iaitu Catherine binti Augustine Anyub serta menantunya Osman.

Menurut Augustine Anyub, beliau menggelar sebagai pokok mulong namun beliau juga menyatakan nama lain bagi pokok mulong adalah pokok rumbia dan pokok sagu. Sejarah pokok mulong menurut beliau adalah berasal daripada Negara China. Beliau mengatakan bahawa pedagang dari China membawa pokok mulong ke Mukah, Sarawak. Berdasarkan cerita Augustine  Anyub, pedagang China ini hanya membawa dua batang pokok sahaja. Kawasan yang terdapat banyak pokok mulong di Mukah adalah dari kawasan Ulu Mukah dan Dalat.

Dari sudut geografinya pula, tanah yang sesuai untuk menanam pokok mulong ialah tanah gambut. Tempoh pokok mulong matang bergantung kepada kesuburan tanah. Cara penanaman pokok mulong adalah dengan menggali sedikit lubang dan seterusnya memasukkan  anak pokok tersebut ke dalam lubang yang telah digali itu tadi. Selepas itu, dua kayu akan dipacak secara berpalang merentasi anak pokok tersebut. Fungsi kayu yang berpalang adalah untuk mengelakkan anak pokok mulong dihanyutkan oleh air. Jangka masa untuk menebang pokok mulong adalah dalam tempoh 13 tahun. Beliau menyatakan juga tunas pokok mulong sentiasa bercambah selepas proses penebangan pokok mulong.

Mengikut aspek kepercayaan pula, proses penebangan pokok mulong mempunyai pantang larangnya tersendiri. Antara pantang larangnya ialah sekiranya terdapat tikus yang melintasi kawasan pokok mulong tersebut, maka pokok mulong tersebut tidak boleh ditebang kerana kemungkinan ada orang yang meninggal umpama kita membaling batu kepada orang yang meninggal tersebut. Pantang larang seterusnya ialah  sekiranya terdapat  ular yang melintas ketika ingin menebang pokok mulong, kita boleh dianggap seperti mengikat keranda orang yang  sudah mati dengan menggunakan tali. Kepercayaan ini dipercayai sehingga ke hari ini. Selain itu, sebelum pergi menebang pokok, jika terdapat seekor ayam yang melintasi perahu, kita tidak boleh menebang pokok mulong. Hal ini kerana mengikut kepercayaan mereka akan berlaku sesuatu bencana.

Pantang larang yang seterusnya dalam menebang pokok mulong, adalah jika terdengar bunyi seekor burung “Bukeng” , siulan burung tersebut perlulah didengar dengan teliti sebelum menebang pokok mulong, hal ini kerana jika kali pertama mendengar siulan burung tersebut maka dilarang untuk menebang pokok tersebut. Namun jika siulan burung tersebut didengar berulang kali maka penebangan pokok mulong dibenarkan. Siulan burung tersebut membawa maksud siulan yang pertama memberitahu terdapat saudara yang terdekat yang meninggal manakala jika siulan tersebut berulangkali bererti tiada apa-apa yang berlaku. Setelah didengari segala pantang larang tersebut, mengikut kepercayaan kaum melanau itu sendiri segala pantang larang itu membawa maksud ada hantu yang memberitahu kepada burung “Bukeng” dan burung tersebut menyampaikan kepada manusia. Walaubagaimanapun, segala pantang larang yang dinyatakan oleh Augustine Anyub tersebut tidak lagi diguna pakai pada masa sekarang.


Ilmu penebangan pokok mulong dan pemprosesan pokok mulong menjadi tepung lemantak (sagu) telah diberikan sepenuhnya kepada Osman iaitu menantu beliau sendiri. Bagi Osman kerja-kerja penebangan dan pemprosesan pokok mulong adalah untuk dirinya sendiri, namun jika terdapat lebihan barulah beliau menjual kepada orang lain. Proses penebangan pokok mulong mengambil masa yang lama dan juga tenaga yang banyak. Langkah pertama adalah mengenal pasti jenis pokok mulong yang hendak ditebang terlebih dahulu, selepas itu penggunaan mesin gergaji (jingsaw) untuk menebang pokok.  Sebatang pokok mulong apabila dibahagikan kepada 30 inci boleh dipotong kepada lapan bahagian. Lapisan pokok mulong adalah tiga lapisan , iaitu lapisan yang pertama sebelum ditebang pokok mulong lapisan yang pertama perlu dibersihkan menggunakan parang. Lapisan yang kedua adalah setelah ditebang dan sebelum dibahagikan kepada lapan bahagian. Dan lapisan terakhir adalah setelah direndam dalam air selama 20 hari.

Selepas proses penebangan pokok mulong, bahagian-bahagian tersebut digolekkan menuju ke tebing sungai. Seterusnya bahagian-bahagian tersebut ditolak terus ke dalam sungai sebelum diikat menggunakan tali. Bahagian-bahagian tersebut disatukan menjadi seperti rakit kemudian ditarik menggunakan perahu atau tenaga manusia itu sendiri. Bahagian-bahagian tersebut boleh ditarik menggunakan perahu jika air sungai pasang, jika air sungai tersebut surut maka tenaga  manusia diperlukan untuk menarik bahagian-bahagian tersebut.  Sebaik sahaja selesai proses penebangan pokok, bahagian-bahagian kecil pokok mulong tersebut direndam dan dibiarkan selama 20 hari di dalam sungai untuk  memastikan sagu yang diproses mempunyai isi yang mencukupi, selain itu proses merendam tersebut adalah untuk mengelakkan daripada dimakan oleh ulat.

Kubur Gantung



 Menurut ketua adat Kampung Tellian, Kudat Bin Meguok, 78 tahun, kepercayaan kubur gantung ini  dibina atas sebab-sebab berlakunya bencana alam di kawasan tersebut. Bencana alam seperti banjir yang sering melanda Kampung Tellian ini, telah menyebabkan penduduk tempatan mengambil inisiatif bagi membina kubur gantung. Hal ini bertujuan untuk menyempurnakan upacara persemadian si mati supaya ia tidak hanyut dibawa arus air. Menurutnya lagi, kebiasaanya kubur gantung ini diperbuat daripada kayu belian yang mempunyai empat tiang dan berukuran 6 kaki dari tanah. Di samping itu, terdapat sumber lain yang  mengatakan bahawa kubur gantung ini, kebanyakkannya mempunyai seekor kucing putih yang duduk diatas kubur tersebut. Ia di percayai sebagai penunggu kubur gantung.
         Selain itu, Marpok Bin Sarbuna iaitu salah seorang daripada kampung Tellian, berpendapat bahawa kubur gantung ini mempunyai bumbung dan dibina tanpa menggunakan tali. Tambahannya pula, kubur ini dibina untuk orang  yang mempunyai penyakit kronik atau digelar sebagai orang peraun. mengikut  penyataan beliau lagi, orang-orang kampung yang terlibat dalam upacara pengebumian ini, mereka perlu melarikan diri ke hutan bagi mengelakkan penyakit si mati berjangkit. Upacara yang diketuai oleh keluarga si mati ini dikehendaki berada dalam hutan tersebut sekurang-kurangya selama  dua atau tiga bulan. Kini, kubur gantung ini tidak lagi diamalkan oleh penduduk Kampung Tellian kerana kemudahan saluran perparitan dikampung tersebut telah dinaiktaraf dan tiada lagi pewaris yang menyambung kepercayaan ini.

Lamin Dana, Mukah

Lamin Dana bermaksud RUMAH LAMA dalam bahasa melanau klasik dan ditubuhkan pada 1999 oleh Diana Rose dan ahli keluarganya.

Tujuan utama Lamin Dana ditubuhkan adalah untuk memulihara dan membangkitkan semula semangat cintakan kebudayaan dan warisan tradisional Melanau serta melaluinya diwujudkan semual kumpulan kebudayaan, seni bina tradisional, kostum, pemakanan, kraftangan dan sebagainya.

Selain itu, Lamin Dana juga merupakan pemangkin untuk industri pelancongan di Mukah di mana Lamin Dana merupakan salah satu tarikan utama para pengunjung ke Mukah.  Lamin Dana merupakan satu produk eko pelancongan yang baru bagi Sarawak yang telah menerima lebih 4000 pelancong dari luar dan dalam negeri. 

 
gambar Lamin Dana


Umai & Pipuih Mukah

KELISEH
Keliseh? Keliseh merupakan satu lagi makanan tradisional masyarakat melanau. Tapi tidak pasti adakah masyarakat melanau selain melanau Mukah kenal akan keliseh. Keliseh merupakan gaulan sagu dengan kuah kari ikan. Kari ayam tidak pasti lagi kerana secara tradisinya kuah kari ikan sahaja yang sesuai dibuat keliseh. Macam biasalah, ikan semestinya ikan segar.
Biasanya keliseh dimakan pada waktu makan tengah hari kerana cuaca panas ditambah lagi dengan kari yang pedas pastinya pemakannya menjadi sihat kerana mampu mengeluarkan peluh walaupun sedang makan. 2 in 1 la. Kata orang tua-tua, makan keliseh sorang-sorang tidak ada kick tapi makan ramai mesti keliseh itu tidak cukup. Sedap tu.

Bahan-bahan:


1 Sagu (ikut suka anda la, kalau peserta makan tu ramai banyaklah. Kalau tidak ramai cukup lah semangkuk sagu ataupun sebungkus sagu)

2 Kuah Kari Ikan (anda boleh menyediakan keliseh selepas anda siap memasak kari ikan. Pastikan kuah kari banyak kerana kuah yang banyak diperlukan kerana sagu menyerap kuah tadi. Ikan pula terpulang kepada anda samaada ingin makan ikan apa. Pasti ikan segar)

Cara penyediaan:

Apabila kari ikan anda mendidih, tuangkan kuah kari tadi kedalam mangkuk sagu. Pastikan anda memastikan tiada kawasan sagu yang kering(kuah kari yang banyak amat diperlukan di sini). Keliseh anda sedia untuk dihidangkan. Betapa mudahnya menyediakan keliseh. Cuba sekali pasti nak cuba lagi. Keliseh juga amat menyelerakan jika kari anda pedas dan sagu anda ranggup. Bagaimana resepi masyarakat melanau yang anda ketahui sekarang? Semuanya mudah-mudah sahaja. Tetapi ada juga makanan melanau yang rumit dan memerlukan kesabaran yang tinggi. Tapi rasanya pun boleh juga. Selamat mencuba.

PIPUIH
HAh? Apa lagi ini? Adakah satu jenis lagi santapan masyarakat melanau? YA. Pipuih merupakan salah satu makanan melanau yang hampir-hampir masyarakat melanau sendiri tidak mengenalinya. Kesian pipuih ni. Pipiuh merupakan makanan masyarakat melanau pada musim sejuk. Eh. Musim menggelang balau(Mengguling keratan batang pohon rumbia). Musim tengkujuh la. Pada musin ini, biasanya orang melanau akan ke hutan untuk menebang pohon rumbia. Antara sebab masyarakat melanau menebang rumbia pada musim tengkujuh ialah laut bergelora dan air banjir dan menengelamkan kawasan paya air tawar. Apabila air bah tadi besar maka, kerja-kerja menebang, memotong, mengguling dan mengilir(istilah melanau yang merujuk kepada kerja-kerja manghantar balau ke kilang atau ke kampung) menjadi lebih mudah. Secara saintifiknya arus yang deras dan daya apungan air menjadikan balau mudah diuruskan berbanding pada musin panas yang pastinya air sungai cetek dan panas.
Pipuih sebenarnya sejenis lagi makanan laut masyarakat melanau. Pipuih dibuat pada musim panas dan dimakan pada musim sejuk. Pipuih seperti menyimpan ikan untuk musim sejuk tetapi tidak seperti ikan masin atau ikan kering mahupun kasam ikan yang masih menampakkan ikan yang disimpan. Pipiuh merupakan ikan Bebulan(sejenis ikan yang banyak tulang)dalam bahasa malayu saya tidak pasti apakah nama ikan ini dan dalam bahasa saintifik belum dapat saya pastikan lagi. Bagaimana ikan yang banyak tulang tadi menjadi tidak bertulang?
Cara membuat Pipuih:

1 Ikan Bebulan dipanggang sehingga masak. Untuk memastikan ikan tadi masak ialah apabila ikan itukelihatan sudah kekeringan.

2 Ikan tadi akan dipisahkan dengan tulang temulangnya. Biasanya kerja-kerja memilih isi dan tulang ini amat rumit. Hal ini kerana banyak tulang-tulang yang halus dan tajam. Walaupun pada suatu ketika anda melihat isi-isi ikan tadi tidak ada tulang, anda hanya perlu menggocangkan bekas isi ikan tadi dan tulang-tulang halus pastinya akan kelihatan.

3 Sesudah selesai acara saringan memilih tulang dalam isi, isi tadi akan di masukkan kedalam bekas iaitu daun nipah atau pun sejenis lagi daun yang terdapat dihutan untuk membungkusnya.

4 Kemudian, pipuih tadi akan dipaggang semula sehingga kelihatan kering sekering-keringnya.

5 Simpan di tempat kering.

Oleh kerana pipuih amat rumit disediakan, hanya golongan veteran sahaja yang rajin membuatnya kerana pengalaman dan kesabaran yang ada pada mereka merupakan aset penting bagi memastikan pipuih anda tidak bertulang dan enak dimakan pada musim sejuk nanti.

Umai Mukah

 Sukar untuk menemui umai yang sedap dan murah di bandaraya besar. Umai Mukah merupakan antara pengeluar umai yang telah 60 tahun bertapak di bandar Mukah dan telah menjalankan perniagaan secara online.

Pasti enak..! Dijamin dibuat daripada ikan SEGAR.
Umai adalah makanan tradisi masyarakat Melanau di Sarawak. Umai di buat dari ikan yang segar bersama dengan bawang yang dihiris dan jus limau yang diperah dan cili.
Bahan-bahan menghasilkan umai dijamin HALAL. 
 
 Bahan-bahan :Ikan ♦ perahan jus limau/asam paya ♦ cili merah ♦ bawang besar ♦ garam ♦ serbuk perasa


 Umai? Apa itu umai? Umai merupakan sejenis makanan laut trasional masyarakat Melanau di SarawakUmai juga merupakan sepupu sashimi(shusi) di Negara Jepun.Tetapi umai tetap popular dikalangan masyarakat di Sarawak.Di mana-mana di Sarawak, Umai tetap menjadi buah mulut masyarakatnya. Bahagian Mukah sinonim dengan gelaran Bahagian Umai. Umai merupakan ikan yang dihiris halus-halus dan dibuang tulangnya. Kalau anda tidak mahu membuang tulang ikan pun tidak mengapa tetapi lebih molek kalau tulang ikan dibuang supaya kebarangkalian untuk anda tertelan tulang ikan adakah kecil. Ikan di laut yang telah siap dihiris itu tadi akan digaulkan bersama-sama asam di darat iaitu limau nipis, bawang merah, bawang putih, bawang besar dan tidak lupa cili.Nak masam lagi anda boleh tambah buah maram(ba’un-buah dari pohon mulung) Semakin banyak limau nipis dan cili semakin sedap jugalah umai anda. Kemudian, hirisan ikan itu tadi akan digaul hingga sebati(macam membuat kuih pula) dengan bahan-bahan yang di darat tadi. Untuk menambah rasa Umai, tambahkan sahaja MSG dan garam secukup rasa. Jadilah umai yang mudah untuk disediakan.

Oleh kerana umai ini adalah mudah disediakan,nelayan biasanya hanya berbekalkan bawang, cili, limau, garam dan MSG sahaja ke laut.Kemudian seekor dua ikan pastinya menjadi mangsa mereka untuk menjadi santapan apabila lapar. Selain ikan, udang dan bubuk(sejenik udang kecil) juga menjadi mangsa nelayang untuk dijadikan umai. Umai sangat mudah disediakan dan tidak memerlukan modal yang besar untuk membuatnya. Ingat, umai sedap jika ikan itu betul-betul segar dan jika umai telah siap untuk dimakan, jangan tunggu lama-lama kerana apabila ikan itu sudah masak (campuran limau dan cili boleh memasakan ikan secara semulajadi) umai hilang sedapnya. Cubalah rasa umai Mukah hari ini.

Permainan TIBAU


Inilah rupanya ' TIBAU ' salah satu permainan tradisional kaum Melanau .
Gambar diambil di Pantai Kala Dana, Kuala Lama, Mukah.


Cara bermain:
Bermula dengan seorang pemain, kemudian pemain ke 2 akan melompat ke atas pemain pertama tadi, begitulah seterus pemain ke 3, 4, 5, sehingga Tibau tak boleh berayun lagi.
 
Pesta Kaul merupakan pesta yang diraikan oleh etnik Melanau Sarawak. Pada asalnya, pesta kaul adalah perayaan selepas selesai musim menuai bagi masyarakat Melanau di pedalaman atau pesta pantai bagi merayakan musim menangkap ikan bagi masyarakat Melanau di pesisir pantai.

Pada zaman dahulu Kaul merupakan upacara pemujaan dan penyembahan oleh masyarakat Melanau pagan kepada dewa-dewa mereka yang digelar ‘ipuk’ oleh sesetangah suku kaum Melanau. Upacara ini adalah bagi menandakan kesyukuran mereka kerana diberi rezeki murah oleh ipuk mereka serta telah dilindungi dari malapetaka dan wabak penyakit. Sebagai tanda terima kasih, mereka akan menyediakan sajian berupa pulut kuning, sireh kapur berpinang, bertih padi dan rokok daun nipah sesuai dengan rutin harian masyarakat setempat. Beberapa jenis kuih juga menjadi sajian wajib yang akan diletakan didalam pinggan yang diperbuat dari daun pokok nipah dan diletakan didalam bekas bertiang yang dipanggil , serahang (seraheng).

Walau bagaimana pun, upacara penyembahan (kaul) ini telah bertukar menjadi pesta setelah ramai dikalangan masyarakat Melanau menganut Kristian atau Islam. Apa yang anda lihat pada hari ini adalah perayaan bagi memperingati tradisi peninggalan nenek moyang terdahulu dan tidak melibatkan sebarang pemujaan.

Selain berbagai permainan dan tarian yang dipertontonkan kepada pengunjung tapak pesta, satu permainan yang amat sinonim dengan pesta kaul Mukah ialah tibau seperti mana yg blh kita lihat pic di atas.


Jerunai Tempat Persemadian Golongan Aristokrat


Jerunai Tempat Persemadian Golongan Aristokrat

Pada zaman lampau, jerunai dijadikan tempat persemadian terakhir untuk golongan aristokrat kaum Melanau atau golongan raja, bangsawan, pemimpin-pemimpin besar dan saudagar-saudagar yang bersifat dermawan kepada masyarakat ini. Jerunai hanya diperbuat daripada kayu belian yang besar dan cukup tua kerana kayu jenis ini tahan lama kepada cuaca panas dan hujan hingga ratusan tahun. Pada tiang jerunai, dikorek dua atau tiga lubang. Lubang di bahagian bawah dan tengah dikhaskan untuk menempatkan mayat atau rangka tulang si mati dan barangan bernilai sebagai bekalan di alam lain. Sementara, lubang di bahagian atas dikhaskan kepada hamba abdi atau orang-orang yang dipilih khas oleh si mati (golongan aristokrat) sewaktu hidupnya. Di bahagian luar tiang jerunai biasanya dilakar indah ukiran bermotifkan binatang seperti naga, harimau, ular, tikus dan sebagainya tertakluk kepada kedudukan pemiliknya.
Jerunei menjadi kebanggaan golongan aristokrat sebagai manifestasi tentang kedaulatan, ketinggian darjat, pengaruh dan kekayaan sewaktu hidup. Masyarakat Melanau dari kalangan orang kebanyakan turut berbangga kerana ia merupakan imej dan keperibadian kaum yang melambang ketamadunan mereka pada waktu itu. Proses membuat jerunai mengambil masa yang lama selain menuntut kesabaran dan kesetiaan kepada raja atau kumpulan aristokrat. Mereka perlu pergi mencari kayu berlian di dalam hutan tebal dan terpaksa membawanya hingga sampai ke kampung. Pembuatan jerunai perlu dilakukan segera  apabila ada orang berkedudukan sakit dan meminta ia dibuat segera. Mereka seakan-akan tahu bahawa maut hampir datang menjemput si pesakit kerana waktu itu tidak ada perubatan lengkap kecuali merujuk kepada bomoh atau dukun. Kemampuan bomoh dan dukun amat terbatas, tetapi keupayaan mereka yang bersandarkan kepada kuasa ghaib kadang kala mampu menyembuhkan pesakit.
Sebelum jerunai didirikan, nyanyian lagu tradisional terlebih dahulu di dendang untuk diperdengarkan kepada para tetamu, kemudian barulah lubang digali untuk menempatkan tiang tersebut. Sebelum upacara menegakkan jerunai dilakukan, para petugas terlebih dahulu menggali lubang sedalam dua meter di tempat yang telah ditetapkan dan mengadakan upacara khas agar roh memberkati segala usaha mereka. Seorang hamba abdi perlu dihumban ke dalam lubang tempat jerunai hendak dipacak. Pada ketika ini, suasana sayu menyelubungi keluarga diraja dan hamba abdi. Raungan tangisan kedengaran di kawasan tanah perkuburan sebagai simbolik agar roh si mati sejahtera sampai ke alam lain dan tidak akan mengganggu mereka yang masih hidup

Jerunei atau Kelidieng


 Jerunei



Assalamualaikum dan salam sejahtera para blogger,

Hari ini admin ingin berkongsi maklumat mengenai jerunei atau kelidieng.
Taman Poket Dalat merupakan sebuah kawasan riadah yang menjadi tumpuan seluruh kampung di Daerah Dalat. Taman ini sesuai dijadikan tempat riadah bersama keluarga pada hujung minggu. Bangku dan pondok disediakan di taman ini untuk kemudahan pengunjung. Jerunei atau Kelidieng merupakan tarikan utama di taman ini yang merupakan sebatang tiang yang berukuran satu sepemeluk. Ia diperbuat daripada kayu belian yang merupakan sejenis kayu keras yang tahan keadaan cuaca dan tahan sehingga ratusan tahun. Jerunei ini dipahat untuk menghasilkan bermacam-macam jenis ukiran. Ada yang dibuat dengan ukiran rumit yang mungkin mengambil masa selama beberapa tahun untuk disiapkan yang dibuat oleh tukang ukir orang Melanau.
Mengikut legenda, apabila seseorang raja itu meninggal, mayatnya tidak terus dikebumikan. Tetapi mayat raja tersebut disimpan di dalam keranda dan keranda tersebut disimpan di dalam pondok khas yang berdekatan dengan Jerunei itu. Setelah mayat raja tersebut reput, tulang-tulang raja tersebut dikumpulkan dan disimpan di dalam tempayan. Tempayan yang mengandungi tulang-tulang raja tersebut diletakkan di dalam lubang Jerunei. Semasa mengerjakan upacara itu, kaum kerabat raja yang meninggal itu akan membawa seorang anak perempuan hamba kepada raja tersebut. Anak perempuan hamba tersebut akan digantung di puncak Jerunei dan dibiarkan mati kebuluran. Ia bertujuan supaya roh anak perempuan hamba tersebut dapat melayan raja itu sebagaimana biasa dialaminya semasa hidup. Seterusnya seorang hamba lelaki dicampakkan ke dalam lubang Jerunei supaya roh hamba lelaki itu akan menjadi pengawal, pelayan dan tukang dayung kepada roh raja itu ketika perjalanan menuju alam kematian.
Jerunei berasal dari Kampung Seberang Tengah namun dipindahkan beberapa kali dalam tahun 1971 sehinggalah kali terakhir ia didirikan di hadapan Pejabat Daerah Dalat. Ia telah berusia menjangkau lebih daripada 100 tahun dan merupakan khazanah silam yang terakhir disimpan serta dijaga oleh penduduk Daerah Dalat di bawah kendalian Pejabat Daerah Dalat. Kini pada 28 April 2008, Jerunei tersebut telah dinaiktarafkan untuk dijadikan mercu tanda yang penting di kawasan Taman Poket Dalat untuk ingatan kaum Melanau terhadap bangsawan-bangsawan terdahulu di samping sebagai tarikan para pelancong.